Isnin, 13 Julai 2009





Mungkin bagi kita Natrah hanyalah insan biasa,tetapi bagi mereka yang hidup ditahun 1950 , Natrah adalah kisah mereka. Siapakah Natrah?, mengapa dirinya begitu dikenali pada tahun tersebut ?.Siapa pula Che Aminah ?,Mansor Adabi?, Dan apakah perkaitan diantara mereka dengan hidup Natrah.


Nadra Maarof atau nama belanda Bertha Hertogh (1937-2009) adalah wanita keturunan Belanda yang menyebabkan Rusuhan Natrah di Singapura pada tahun 1950. Rusuhan ini terjadi kerana berbaur dengan sentimen agama dan warna kulit.
Bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh dan ibunya Adeline Hunter. Kakaknya Wiesje, Corrie. Adiknya Benny dan Karel.
Beliau meninggal dunia pada 9 Julai 2009 pada umur 72 tahun di Huijbergen, Belanda


1937 24 Mac Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad. Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman, Terengganu. Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung, Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat,Singapura
24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill, Singapura
28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura .
28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang, Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam, perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhamad, Siti Aisyah.
2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda. Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dijadikan Katholik.
12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang, Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
Ada protes orang Islam di Karachi, Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya, Sarjan Hertogh.
Di rumahnya di Bergen Op Zoom , kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari. Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh'.
25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah
20 Julai 1953 Surat Bertha kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Bertha yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Bertha ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
20 April 1956 Bertha berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
15 Februari 1957 Bertha bersalin anak lelaki pertama. Bertha mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline, Hands dan Paul.
20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Bertha menceritakan dia sudah berkeluarga.
3 Februari 1959 Surat Bertha kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Bertha dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Bertha, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Bertha telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
16 Ogos 1976 Bertha didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Bertha dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Bertha ditangkap.
26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
Disember 1979 Bertha berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Bertha dan yang dikatakan bersepakat dengan Bertha untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht, Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
1983 Bertha bercerai dengan Tom Ballermans
1984 Bertha masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
15 September 1984 Bertha meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga... Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
Bertha kini tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarikat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Bertha hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.[perlu petikan]
Pada tahun 1992, kerajaan telah mengharam lagu yang berjudul Natrah nyayian kumpulan Handy Black yang mengisahkan kisah Natrah ini.
9 Julai 2009 - Bertha Hertogh atau Natrah nama Islamnya pada satu ketika, dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Huijbergen, Belanda. Beliau meninggal akibat leukemia pada usia 72 tahun, menurut Duta Malaysia di Belanda, Dr Fauziah Mohd Taib, menerusi e-mel kepada Bernama. Semua sumber berkaitan Natrah ini dibuat berdasarkan rujukan daripada Fatini Yaacob, majalah Dewan Masyarakat, DBP, April 1989 hlm 20.
Maria Hertogh, pulang ke Malaysia pada 1999 berumur 63, untuk sebuah dokumentari TV Belanda .Tetapi itu kisah dahulu. Sebelum Natrah meninggal dunia beliau begitu teringin mendengar dan mempunyai koleksi lagu " ikan di laut asam di darat ".maklumat ini saya ambil daripada berita harian.



NEW YORK: Natrah teringin mendengar lagu dan memiliki cakera padat yang memuatkan lagu 'Ikan di laut asam di darat'. Hajat hatinya itu, bagaimanapun tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia akibat leukemia di rumahnya di Huijeberen, selatan Belanda, baru-baru ini. Natrah menyampaikan hajat untuk mendengar dan memiliki cakera padat lagu itu kepada Hertini Ngah Hashim, 40-an, yang juga anak saudaranya ketika melawat beliau April lalu. Hertini yang menetap di New York, singgah menziarahi Natrah ketika bercuti ke Eropah.
BERITA UTAMA
Natrah tidak sempat dengar lagu 'ikan di laut asam di darat'

GAMBAR terbaru Natrah dirakam April lalu.
NEW YORK: Natrah teringin mendengar lagu dan memiliki cakera padat yang memuatkan lagu 'Ikan di laut asam di darat'. Hajat hatinya itu, bagaimanapun tidak kesampaian apabila beliau meninggal dunia akibat leukemia di rumahnya di Huijeberen, selatan Belanda, baru-baru ini. Natrah menyampaikan hajat untuk mendengar dan memiliki cakera padat lagu itu kepada Hertini Ngah Hashim, 40-an, yang juga anak saudaranya ketika melawat beliau April lalu. Hertini yang menetap di New York, singgah menziarahi Natrah ketika bercuti ke Eropah.
"Saya memaklumkan hajat Natrah untuk memiliki cakera padat itu kepada kakak yang menetap di Kuala Terengganu dan kami sama-sama berusaha untuk mendapatkan," kata Hertini yang kini bekerja di pejabat Konsul Jeneral Malaysia di sini, dalam nada kesal. Natrah atau nama sebenarnya Maria Bertha Hertogh ialah anak Adeline Hunter dan Adrianus Petrus Hertogh yang ditawan tentera Jepun di Indonesia pada 1942. Menceritakan lawatannya ke Huijeberen, Hertini berkata, beliau dijemput anak Natrah, Carolein di stesen kereta api Bergen Op Zoom dan terus membawanya ke rumah Carolein, di mana Natrah menunggu kedatangannya.
HERTINI bersama Natrah di rumahnya di Huijeberen, selatan Belanda baru-baru ini.
"Ketibaan saya disambut dengan wajah penuh ceria oleh Natrah. Turut bersama ketika itu suami Carolein, dua cucu Natrah dan anak sulungnya, Franc. "Natrah sangat fasih berbahasa Indonesia dan kami berbual sehingga lewat malam mengenai pelbagai perkara termasuk kehidupan zaman kanak-kanaknya dan pengalamannya dibawa balik ke Belanda," kata Hertini yang turut membawa keropok ikan kesukaan Natrah dan 12 helai baju batik 'kaftan' sebagai buah tangan. Antara cerita dikongsi bersama Hertini ialah mengenai pengalaman Natrah hampir terkena tembakan ketika berada di atas kapal ketika berlakunya rusuhan Natrah di Singapura untuk ke Indonesia. Dalam rusuhan itu, 18 orang maut dan beratus-ratus lagi cedera. "Natrah kini tinggal berseorangan di pangsapurinya yang terletak berhampiran rumah Carolein.
"Natrah juga sempat membacakan surah Al-Fatihah dan menyanyi beberapa lagu Melayu Indonesia serta memaklumkan beliau sudah menandatangani surat persetujuan untuk menderma mayatnya selepas beliau meninggal dunia, "Natrah juga menunjukkan koleksi baju kebaya miliknya dan gambar beliau semasa pulang ke Malaysia kira-kira 10 tahun lalu. "Beliau juga memaklumkan bapa saya (Allahyarham Ngah Hashim Mohd Dahan) pernah ke Belanda sekitar 1956 untuk menjemputnya balik ke Malaysia tetapi pada masa itu, Natrah sudah berkahwin dan mempunyai anak yang baru berusia setahun," katanya.

Ahad, 12 Julai 2009

Berani Dan Yakin Pembentukan Diri




ERA kemajuan dan pembangunan prasarana serta minda yang pesat menjadikan wanita sentiasa mahu segandingan dengan lelaki. Dunia pekerjaan atau dalam kehidupan, wanita dan lelaki harus seiring untuk menentukan hala diri dan kehidupan yang lebih mantap dan sempurna.
Bagaimanapun kehadiran wanita di tengah--tengah kelompok masyarakat selalu diperkecilkan dengan adanya spekulasi yang tidak tepat tentang wanita. Wanita sering dianggap lemah dan tidak mampu menonjolkan diri untuk bersaing terutama ketika melakukan percubaan memantapkan kedudukan mereka.
Untuk wanita yang berhasrat berada sebaris dengan lelaki terutamanya dalam memburu kejayaan karier apa yang paling penting ialah wujudnya keberanian dalam diri. Manakala keberanian hanya akan wujud apabila ada keyakinan dalam diri untuk menghadapi masyarakat yang kian terbuka pemikirannya.
Kejayaan memerlukan usaha yang berlipat ganda untuk mencapainya. Selain usaha, diri perlu dibekalkan dengan keyakinan untuk merancang dan menyusun strategi kejayaan. Bagi membina keyakinan apa yang diperlukan ialah keterampilan diri atau imej yang boleh dibanggakan untuk menonjolkan kemampuan.
Di dalam buku MOTIVASI... Memburu Kejayan, karya pakar motivasi Dato' Maznah Hamid ada memberi kata-kata dan gambaran imej seperti berikut;
Harta yang paling bernilai kepada setiap insan ialah imej dirinya... Dan imej diri dianggap sebagai aset paling berharga kepada diri individu tersebut. Sebagai seorang yang positif, kita mesti berusaha untuk membina aset diri dalam usaha mencapai hak sebagai manusia yang menikmati kebahagiaan dan kejayaan...
Jika selama ini imej hanya dikaitkan dengan qambaran fizikal seperti cara berpakaian, bersolek dan gambaran fizikal lainnya imej diri sebenarnya meliputi pengertian yang lebih luas.
Imej diri yang jujur mampu mentafsir seseorang individu secara menyeluruh. Begitulah pentingnya imej yang mampu membentuk personaliti diri yang sejajar dengan kejayaan yang dikehendaki.
Imej akan terbentuk daripada sifat yang ditunjukkan. Malahan imej diri bukan semata-mata melibatkan apa yang dilahirkan daripada gerak geri dan tutur kata malahan imej diri sebenarnya lahir daripada sifat dalaman seperti kata pepatah Inggeris, 'What you see in you, is what you get!
Individu itu akan lebih diyakini apabila mempunyai personaliti dan imej diri yang cukup meyakinkan. Imej boleh dianggap sebagai gambaran yang menentukan reaksi orang lain terhadap diri orang yang dipandangnya. Kebolehan membina imej diri serta memberi keyakinan pada diri sendiri adalah lebih penting sebelum mampu menarik orang lain mempercayai diri kita.
Imej akan menggambarkan keyakinan dan keberanian yang dinyatakan melalui perlakuan dan tindak tanduk. Cara membawa diri seperti berjalan, bercakap dan tingkah laku akan diukur sebagai imej diri yang akan memberitabu siapa diri kita yang sebenarnya.
Imej diri sempurna yang lahir dari sikap dalaman samalah seperti kita 'menuai' apa yang kita tanam. Sekiranya kita 'menanam' gambaran mental sebagai seorang yang gagal dengan ciri-ciri negatif, maka itulah yang akan kita 'tuai'. Maka jadilah kita sebagai individu yang lemah dan selalu kecewa.
Jangan biarkan perasaan negatif lahir dalam diri sehingga menyebabkan berlakunya mental block yang boleh menyekat pemikiran kreatif yang membina diri. Berilah ruang untuk pemikiran yang positif. Kukuhkan motivasi diri sehingga menjadi kuat untuk berubah. Sebenarnya setiap orang dikurniakan kelengkapan dan kekuatan mental, jasmani dan rohani untuk menjadi seorang yang beriaya.
Pada sesebuah syarikat, imej koporatnya akan memberi gambaran keseluruhan terutama kemantapan ekonominya. Begitu juga imej pada seseorang individu. Imej boleh membuatkan orang meletak kepercayaan dan berkeyakinan sepenuhnya terhadap individu tersebut.
Kejayaan tidak dapat dicapai melebihi daripada imej dan kepercayaan terhadap kebolehan diri sendiri. Ia merupakan penentu kepada apa yang boleh dicapai. Selain usaha keras untuk membentuk imej diri, ia kadangkala terbentuk secara tidak disedari.
Pengalaman dan persekitaran selalunya membentuk pemikiran dan imej diri. Bagaimanapun jangan terlalu membiarkan diri dipengaruhi oleh pengalaman yang negatif kerana ini secara tidak langsung akan membuatkan anda membina imej yang tidak sewajarnya.
Hanya anda yang boleh melakukan usaha membetul dan mengukuhkan imej diri. Tidak ada siapa yang boleh menghalang atau mendorong ke arah itu. Sejauhmana kita berjaya mengubah dan membentuk imej terletak pada bagaimana kita mengendalikan diri kita.
Imej diri adalah gabungan antara rasa hormat dan penghargaan terhadap diri sendiri. Ini termasuklah percakapan, disiplin serta kawalan diri untuk menyempurnakannya. Pengendalian faktor di atas akan menentukan anda membentuk imej diri yang positif atau negatif.
Orang tidak akan berjaya tanpa imej diri. Sedarilah bahawa kita perlu membina keyakinan dan imej diri supaya kita tidak mudah terancam dengan persekitaran yang semakin mendesak. Dalam usaha menjadikan anda seorang wanita berjaya dalam rumah tangga dan kerjaya pastikan anda seorang yang berani, cekal dan sanggup berkorban untuk membentuk imej dan personaliti sesempurna mungkin.
NONA, JULAI 1996, BIL: 174, M/S 110-111

Jadilah Pengkritik Berkualiti




Ini adalah artikel yg saya jumpa di laman blog yang saya lawati.Memang menarik , bacalah yek
Menjadi seorang designer yang bekerja secara freelance (bebas), telah menemukan saya dengan bermacam-macam jenis pelanggan. Tentunya kerenah mereka yang beraneka ragam adalah pengalaman yang menarik bagi saya, kerana sesungguhnya cabaran yang paling manis, adalah kritikan. Kenapa ya?
Untuk artikel ini, mari bayangkan, anda sebagai seorang pelanggan sedang mengupah seorang freelance designer seperti saya.
Mengkritik, dan kritikan adalah umpama anggota dalam tubuh seni yang tak bisa dipisahkan. Boleh jadi ia suatu kelebihan, yang akhirnya dapat membaiki kualiti kerja oleh designer anda. Tapi, ada juga jenis pelanggan yang bukan saja tak pandai mengkritik, malah melemahkan semangat designer yang mereka upah.
Di sini, saya kongsikan kaedah mengkritik, yang bakal menguntungkan kedua-dua pihak.


1. Mulakan dengan tona positif.
Inilah kunci utama. Ketahuilah, di dunia ini tiada yang boleh dilabelkan sebagai “seni itu buruk”. Bukankah seni itu suatu yang subjektif? Jika tidak, masakan ada pepatah, beauty is in the eye of the beholder. Oleh itu, mulakan tutur bicara dengan ungkapan yang baik seperti, “Wah, satu permulaan yang baik”, ataupun, “Nampak menarik.”


2. Jelaskan poin negatif.
Tak mungkin suatu hasil kerja itu sempurna 100%, betul? Pasti ada cacat celanya. Namun, untuk katakan ‘buruk’, bukankah lebih manis dengan perkataan ‘Kurang Menarik’ sebagai ganti?
3. Jujur sejujurnya, telus setelusnya.
Andai anda kurang setuju, atau tidak suka dengan sesuatu, jelaskan tanpa disorok-sorok. Tapi, tentunya dengan cara yang lebih matang dan profesional.


4. Jadikan suasana seperti (kononnya) dalam kumpulan.
Saya dapati, ada jenis pelanggan yang suka gunakan perkataan ‘kita’ (iaitu ‘we, us, our’ dalam bahasa Inggeris) dalam ayat ketika proses perbincangan. “Apa kata, kalau kita buat begitu..”, ataupun, “Cuba kita jadikan font itu begini..”. Barulah nampak seperti sedang bekerjasama.


5. Berikan, sekurang-kurangnya SATU poin positif.
Biarpun tiada satu pujian yang selayaknya dikurniakan pada designer anda (kerana hasil kerjanya, err.. maaf cakap, buruk.), usahlah timpakan designer anda dengan beratus kritikan, tanpa satu pun pujian. Nampakkan kerja dia dihargai, barulah senang hati untuk dia baiki kesilapannya.


6. Akhiri dengan tona positif.
“Your sketch was great”, “Keep up the good work”, “Apa-apapun, kerja kamu baik.”, adalah beberapa ayat dorongan yang baik untuk menaikkan semangat designer anda. Kemudian, nantikan pula kualiti yang lebih bermutu lagi selepas itu dari dia.


7. Jaringan.
Komunikasi yang baik, adalah yang berupaya membentuk jaringan perniagaan. Saya terasa sangat dekat dengan pelanggan jenis ini. Sampaikan terus menjadi akrab hingga ke projek-projek seterusnya. Sebab itulah, bekerja sebagai seorang freelancer, pada pandangan saya, kadangkala tak perlu bermati-matian untuk marketing. Dari mulut ke mulut (dikalangan pelanggan) saja sudah memadai.
Baiklah, sekian saja setakat ini dari saya. Andai dipegang ketujuh-tujuh prinsip di atas, percayalah, anda dan designer anda, kedua-duanya pasti bermanfaat sama. Kesannya nanti, hasil design kian gempak, anda puas hati, seterusnya kemahiran designer pun makin mantap.
Jumpa lagi.


# Penulis yang dikenali dengan nama Irfan Jani, adalah seorang brand designer yang bekerja secara bebas (freelance) dalam bidang pemasaran dan perniagaan. Perkongsian selanjutnya boleh anda ikuti di blog beliau iaitu, http://www.irfanjani.com/ . Beliau senang dihubungi pada bila-bila masa untuk mendapatkan khidmat nasihat dalam proses penjenamaan produk, perkhidmatan grafik untuk offiline atau online marketing, dan yang berkaitan.